Showing posts with label picu. Show all posts
Showing posts with label picu. Show all posts

13 Apr 2017

WAD KK4 IPHKL TIDAK BAGUS, SIAPA KATA?

Menjaga adik Izz sejak bayi penuh dengan kisah yang mematangkan aku. Pada usianya 7 bulan, adik Izz dimasukkan ke Wad ICU Hospital Putrajaya selama 5 hari. Aku rasakan 5 hari itu sudah cukup lama, cukup menguji emosi. Padahal, aku tak tahu yang pada masa hadapan, Allah bakal menguji aku dengan ujian yang lebih besar. Begitulah... 

Dari Hospital Putrajaya, adik Izz dikejarkan ke Wad PHDW, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (IPHKL). Subhanallah, 10 hari adik Izz disitu sebelum dipindahkan ke Wad KK4 IPHKL. Siapa sangka kan ... adik Izz akan menghuni LAMA di Wad KK4 IPHKL? Hampir 6 bulan lamanya. Yup, 6 bulan. Bukan 6 hari, bukan 6 minggu. Itu kali pertama adik Izz di wad.

Ada yang lagi lama, 8 bulan di Wad KK4 IPHKL. Itu semasa kali ke-6 adik Izz di wad. Sehingga saat ini, adik Izz sudah berada di Wad KK4 IPHKL hampir 830 hari keseluruhannya. Aku akhirnya sudah menjadi biasa dengan rutin sepanjang menjaga adik Izz di Wad KK4. Waktu untuk doktor round wad bila, waktu untuk makan ubat bila, waktu makan pagi tengahari malam bila, waktu adik Izz melelapkan mata bila, apa medical terms untuk prosedur yang dilakukan.



Namun, biarpun dilihat tempoh itu sangat lama, ada hampir 30 malam yang aku rasa seolah-olah berjalan tidak pijak tanah, kerana risaunya, kerisauan yang sangat besar. Orang kata "makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena". Itulah 30 malam adik Izz di PICU (Pediatric Intensive Care Unit).

Pada saat ini, aku rasakan betapa kerdilnya lah aku ini, betapa bermaknanya lah setiap sujud aku kepada Ilahi. Kerana aku meminta dengan sesungguh hati aku. Tidak ada yang tidak terluah kepada Allah. Semuanya aku luahkan, semuanya tentang adik Izz, agar adik Izz kembali sihat. Kembali sihat.

Betul ... para doktor hanya merawat dan DIA lah jua yang menyembuhkan. Namun ... team Wad KK4 adalah yang terbaik. Iya, sangat terbaik. Aku tahu itu. Dedikasi, kesabaran dan hemat mereka tidak akan aku sekeluarga mampu membalasnya.


Bahkan para jururawat Wad KK4 IPHKL juga sangat mulia hatinya. Saat aku memerlukan bantuan, mereka hulurkan, biarpun diluar tanggungjawab mereka. Aku faham dengan keupayaan menjaga Wad KK4 IPHKL dengan pesakit yang ramai dan kekurangan staff, bukanlah mudah. Biarpun jururawat silih berganti, ada yang sejak dari mula adik Izz di Wad KK4 IPHKL sehinggalah sekarang masih menjaga adik Izz. Begitu, apa yang mampu aku ungkapkan ... staff di Wad KK4 IPHKL sentiasa memberikan yang TERBAIK buat semua pesakit dan waris mereka.

Siapa yang ajar ajar aku apa yang aku lakukan sepanjang adik Izz menjalani Home Parenteral Nutrition (HPN) Programme? MEREKA lah. Suka duka, senda tawa, gaduh baik, jeling-jeling, itu semua merapatkan hubungan aku dan mereka. Jika ada yang kata Wad KK4 IPHKL tidak bagus, aku BERANI kata sebaliknya. KAMU SEMUA YANG TERBAIK, STAFF WAD KK4 IPHKL. TERIMA KASIH!


Demikian juga yang sama-sama berkongsi suka duka ujian aku ini. Jagaan kalian, ziarah kalian, sokongan kalian, sumbangan kalian, Whatsapp kalian, SMS kalian, komen kalian dan doa yang dipanjatkan semua, sangat aku hargai. Hanya Allah yang mampu membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Kita semua dah macam keluarga. Waris, patients silih berganti, namun kita masih berhubungan sehingga kini, Inshaa Allah sampai bila-bila. AAMIIN.

~mama Izz


Share:

30 Oct 2015

PICU KE WAD BIASA, AKHIRNYA.

Berada di wad ICU sejak 5 Oktober lagi, tempat yang aku rasa benar-benar susah nak dijangka keadaannya. Alhamdulillah, pada hari Jumaat yang mulia ini setelah 25 hari adik Izz disini, doktor sudah beri kebenaran untuk adik Izz dipindahkan ke wad biasa. Betapa hati ini gembiranya mendapat perkhabaran itu. Syukur padaMU Ilahi kerana makbulkan doa-doa kami semua. 

Adik Izz kini diletakkan di Wad KK4, Institut Pediatrik. Dari jauh lagi bila adik Izz nampak pintu wad KK4, dia sudah tersenyum. Allahuakbar, betapa adik Izz juga tidak sabar-sabar untuk keluar dari wad ICU. Kini, adik Izz diletakkan di hadapan sekali memudahkan keadaan adik Izz dipantau oleh doktor dan jururawat wad berkenaan.

KL Butterfly Park
Hari-hari mereka bertanya, "bila boleh tengok adik?".
 
Masih berpuasa, dengar-dengar adik Izz akan mula 'feeding' susu minggu hadapan. Harap adik Izz akan semakin sembuh selepas ini dan boleh pulang ke rumah. Along Izz dan angah Izz pastinya orang yang paling gembira kerana mereka dapat bertemu dengan adik mereka. Dan adik Izz? Semestinya rindukan abang-abangnya juga. 


Share:

GAMBARAN MELALUI PANGGILAN TELEFON

Aku masih bekerja. Anak-anak juga masih bersekolah dan ke taska. Hanya mama Izz yang bercuti menemani adik Izz di wad. Aku datang juga ke wad berulang kali bergantung kepada keadaan adik Izz. Banyak info tentang adik Izz aku dapat panggilan telefon daripada mama Izz. Bagaimana aku boleh tafsir keadaan adik Izz melalui panggilan telefon daripada mama Izz? 

Jika mama Izz menelefon dan aku cuma mendengar tangisan sahaja, emmm itu maknanya keadaan adik Izz tidak baiklah itu. Jika aku dapat panggilan telefon, percakapan mama Izz seakan-akan 'high-note', maknanya mama Izz tengah bengangkan samada doktor atau jururawat lah itu. Dan jika aku angkat panggilan aku dengar suaranya yang merdu, maknanya adik Izz dalam keadaan yang sangat baik. 

Ini barulah keluarga. Adik-beradik bersama-sama.
Jika adik Izz di wad, along Izz dan angah Izz tiada halangan untuk melawatnya. 

Macam pagi ini, aku dapat panggilan telefon daripada mama Izz. Dari suaranya aku dapat tahu yang mama Izz sedang dalam keadaan yang gembira. Apa yang buatkan mama Izz gembira? Doktor mengatakan yang adik Izz sudah boleh dipindahkan ke wad biasa iaitu Wad KK4. Alhamdulillah. 

Dapatlah along Izz dan angah Izz berjumpa dengan adik Izz ke sekian kalinya. Lebih 3 minggu baik along Izz, angah Izz mahupun adik Izz tidak bertemu. Syukur. Berkat doa semua buat adik Izz.


Share:

PERATURAN DI WAD ICU PEDIATRIK

Pediatrics Intensive Care Unit (PICU), Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur. Sudah 25 hari adik Izz ditempatkan disini. Belum ada tanda-tanda adik Izz akan dipindahkan ke wad biasanya iaitu Wad KK4, Institut Pediatrik. Sepanjang berada di wad ICU ini, seingat aku sudah 6 kali adik Izz masuk ke dalam dewan bedah. 4 kali untuk jalani pembedahan (pembedahan ke 18 hingga pembedahan ke 21) dan 2 kali untuk tujuan 'dressing'. Sepanjang tempoh ini jugalah adik Izz berbaring sahaja dan adik Izz masih lagi berpuasa sejak pembedahan ke 17 nya. 

Wad ICU sini aku dapati agak 'kompromi'. Tapi bukanlah sampai tahap semuanya tidak boleh. Ada yang dibenarkan dan ada yang mengikut budi bicara. Sedia maklum, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun memang tidak dibenarkan masuk, kan? Tapi, Alhamdulillah along Izz pernah dibenarkan masuk sekejap melihat adik Izz. Itu pun pada masa itu orang tidak ramai dan kebetulan katil adik Izz katil no. 1 betul-betul berhampiran dengan pintu masuk. Terima kasih doktor. Angah Izz tidak berpeluang seperti along Izz. Hehehe.

Patuhilah peraturan di wad ICU

Aku dan mama Izz pula tiada had untuk keluar masuk mulai jam 8:00 AM sehingga jam 10:00 PM bergantung kepada keadaan. Iyalah, jika doktor sedang melakukan rondaan, memang kami kena keluar lah. Then, bila sudah selesai, boleh masuk semula. Aku sangat-sangat berharap adik Izz akan keluar dari wad ICU dalam masa terdekat. Bukan apa, sudah lama sangat adik Izz tidak berjumpa dengan abang-abangnya. Pasti adik Izz sangat-sangat rindukan mereka. Mereka pun sama, hari-hari bertanyakan pasal adik Izz. 

In Shaa Allah, mudah-mudahan dimakbulkan Ilahi doa-doa kita semua.
Share:

12 Oct 2015

PEMBEDAHAN SIRI KE 18 | PILIHAN HIDUP DAN MATI

Pembedahan kali ini perlu dilakukan kerana adik Izz agak tenat waktu ini. Aku fikir keadaan adik Izz akan bertambah baik selepas pembedahan ke 17 sebelumnya. Tetapi tidak sehingga adik Izz terpaksa dimasukkan ke wad ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Bakteria/ kuman yang menjangkiti adik Izz agak kuat. Malahan ia sangat kuat. Kulit adik Izz seakan terbakar jadinya. Habis satu badannya sudah bertukar warna. 

Aku dapat panggilan daripada mama Izz mengatakan doktor ingin berjumpa kami berdua. Kami diterangkan tentang keadaan adik Izz waktu itu. Hanya dua pilihan yang diberi iaitu meneruskan dengan pembedahan (theory) ataupun tidak buat apa-apa biarkan adik Izz 'pergi'. Kami tanpa berfikir panjang, yang mana selagi ada jalannya, kami bersetuju diadakan pembedahan. 

Pembedahan dijalankan pada petangnya juga memandangkan adik Izz tenat ketika itu. Pada pembedahan kali ini, didapati air dari usus kecil adik Izz yang disambungkan dengan tiub pada pembedahan sebelum ini telah bocor keluar. Air daripada usus kecil berkenaan telah bercampur dengan bakteria/ kuman yang ada dalam darah adik Izz sebelum ini. Doktor bertindak mencuci air berkenaan dan tiub yang disambung pada usus kecil adik Izz dicabut. 

Usus adik Izz masih belum boleh disambung lagi kerana masih baru menjalani pembedahan memisahkan usus. Jadinya, doktor seal usus berkenaan dan sambungkan dengan tiub baru yang lain dan keluarkannya melalui Gastrostomy adik Izz. 

Pilihan antara hidup dan mati

Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar. Walaupun ada plan yang agak sedikit bertukar. Perutnya disambungkan dengan vacuum bertujuan membersihkan. Luka pembedahan pula dibiarkan terbuka dan hanya ditutup dengan plastik. Tujuannya untuk memudahkan adik Izz dipantau.


Share:

ADIK IZZ MAKIN KRITIKAL

Aku sangat tertekan. Dulu, adik Izz juga pernah ditahan di ICU. Tetapi keadaannya semakin sembuh. Kali ini? Hari ke hari aku menjenguknya dengan harapan yang tinggi dia akan makin sembuh. Paling tidak pun celikkan matanya melayan tanda respon yang baik. Tetapi tidak begitu. Realitinya, adik Izz makin teruk aku lihat. Iya, doktor ada katakan perkara yang positif namun aku tak nampak apa yang positifnya. 

Sepsis (kekotoran darah), asalnya sikit je kemerahan di bagahian bawah tiub CVL sebelah kanan. Then sudah jadi sebesar tapak tangan. Then, habis kemerahan perutnya. Hari ini? Seluruh badannya telah merebak. Kalau ikutkan emosi, memang aku marah. Dan sekarang, aku memang sedang marah tetapi aku cuba 'control'. 

Aku dijanjikan untuk kesan apa jenis bakteria selama 48 - 72 jam. Tetapi TIDAK. Aku tanya lagi, 5 - 7 hari pula. Hari ini genaplah 7 hari adik Izz ditahan di ICU. Aku harap, ada berita baik yang aku dengar sebabnya apa yang aku lihat bukanlah yang baik-baik sahaja. 

Sudah 2 hari adik Izz tidak dilekapkan matanya dengan 'tape' tetapi hari ini terpaksa diberi bius penuh dan matanya di 'tape'kan semula. Kasihan tau. Sangat kasihankan dia. Aku sebagai bapa dapat terima yang sekarang adik Izz sedang kritikal. Mama Izz? 

Dialah hari-hari yang menemani adik Izz 24 jam. Dia sanggup cuti panjang untuk adik Izz. Dialah yang mengadap wajah adik Izz hari-hari. Dialah yang paling terkesan dengan keadaan ini. Dia ibu, aku pasti semua ibu akan rasa yang sama. Tidak mampu lagi aku menaip. Sangat beremosi tika ini.

Aku rindukan senyuman di wajahnya
Kembalikanlah senyuman ini.



Share:

8 Oct 2015

KATA PAKAR DIA STABIL, TAPI

Sejak pagi hati tidak senang apabila mama Izz mengatakan yang adik Izz perlukan 'ventilator' atau alat bantuan pernafasan. Katanya adik Izz sangat lemah dimana dia tidak cukup untuk bekerja sendiri mendapatkan oksigen. Allahuakbar. Pakar semalam kata adik Izz memanglah kritikal tapi bukan pada tahap membimbangkan. Selagi dia tidak perlukan alat bantuan pernafasan, selagi itu dia dalam keadaan baik. Dan tiba-tiba? 

Lama aku tunggu untuk dapatkan penjelasan pakar bedah berkenaan adik Izz. Info banyak aku dapat daripada pakar di ICU namun masih kena tunggu apa kata pakar bedah. Seharian aku menanti dengan keadaan adik Izz tidak menentu. Tekanan darah masih rendah ditambah lagi doktor di ICU perlu buat 'line' baru di lehernya, tambah pula dengan lebam seakan terbakar dibahagian CVL. 

Pediatrics Intensive Care Unit (PICU)
Parents boleh keluar masuk mulai 8am - 10pm kecuali waktu doktor buat prosedur.

Entahlah, tak keruan rasanya. Rasanya, sekitar 7pm lebih barulah berpeluang berjumpa pakar untuk dapatkan kepastian berkenaan adik Izz. Kata pakar, keadaan adik Izz stabil buat masa sekarang walaupun dia masih memerlukan 'ventilator' untuk bernafas. Sekejap-sekejap akan dijalankan operasi sedut kahak. 

Berkenaan dengan kesan lebam 'ungu kehitaman' sebesar tapak tangan dibahagian kanan bawah tiub CVL itu, katanya bukanlah 'Sepsis' (ditakrifkan sebagai kehadiran/ kebanjiran organisma patogenik atau toksin dalam darah atau tisu-tisu lain). Cuma air yang dikeluarkan daripada usus bergabung dengan bakteria yang menjangkiti darahnya dan menyerang luka pembedahan. Katanya akan sembuh sendiri. 

Dia mendengarnya, cuma tidak mampu memberi respons
mama Izz bercuti. Selagi adik Izz di ICU, selagi itu dia akan bercuti.

Adik Izz masih belum sedarkan diri. Pakar masih menunggu result darah untuk kenalpasti bakteria. Beberapa jenis antibiotik juga sedang diberi. Tekanan darahnya masih menurun tetapi diberi beberapa ubat untuk mengekalkan/ meningkatkan tekanan darahnya. Apa yang ada kini pada adik Izz? 

Tiga tiub disambungkan ke tiub CVL untuk tekanan darah. Tiga tiub di leher untuk antibiotik. Beberapa tiub di lengan untuk ubat lain dan drip. Satu tiub dalam mulut untuk bantuan pernafasan. Satu tiub dalam hidung untuk keluarkan air dari perut/ elak muntah. Beberapa tiub di bahagian perut untuk buangan serta satu tiub untuk saluran kencingnya. Matanya masih di 'tape' bagi mengelakkan kerosakan kornea mata.

Aku tetap risau. Pada aku, selagi dia di ICU selagi itulah dia masih kritikal. 


Share: