Showing posts with label pediatrik. Show all posts
Showing posts with label pediatrik. Show all posts

13 Apr 2017

WAD KK4 IPHKL TIDAK BAGUS, SIAPA KATA?

Menjaga adik Izz sejak bayi penuh dengan kisah yang mematangkan aku. Pada usianya 7 bulan, adik Izz dimasukkan ke Wad ICU Hospital Putrajaya selama 5 hari. Aku rasakan 5 hari itu sudah cukup lama, cukup menguji emosi. Padahal, aku tak tahu yang pada masa hadapan, Allah bakal menguji aku dengan ujian yang lebih besar. Begitulah... 

Dari Hospital Putrajaya, adik Izz dikejarkan ke Wad PHDW, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (IPHKL). Subhanallah, 10 hari adik Izz disitu sebelum dipindahkan ke Wad KK4 IPHKL. Siapa sangka kan ... adik Izz akan menghuni LAMA di Wad KK4 IPHKL? Hampir 6 bulan lamanya. Yup, 6 bulan. Bukan 6 hari, bukan 6 minggu. Itu kali pertama adik Izz di wad.

Ada yang lagi lama, 8 bulan di Wad KK4 IPHKL. Itu semasa kali ke-6 adik Izz di wad. Sehingga saat ini, adik Izz sudah berada di Wad KK4 IPHKL hampir 830 hari keseluruhannya. Aku akhirnya sudah menjadi biasa dengan rutin sepanjang menjaga adik Izz di Wad KK4. Waktu untuk doktor round wad bila, waktu untuk makan ubat bila, waktu makan pagi tengahari malam bila, waktu adik Izz melelapkan mata bila, apa medical terms untuk prosedur yang dilakukan.



Namun, biarpun dilihat tempoh itu sangat lama, ada hampir 30 malam yang aku rasa seolah-olah berjalan tidak pijak tanah, kerana risaunya, kerisauan yang sangat besar. Orang kata "makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena". Itulah 30 malam adik Izz di PICU (Pediatric Intensive Care Unit).

Pada saat ini, aku rasakan betapa kerdilnya lah aku ini, betapa bermaknanya lah setiap sujud aku kepada Ilahi. Kerana aku meminta dengan sesungguh hati aku. Tidak ada yang tidak terluah kepada Allah. Semuanya aku luahkan, semuanya tentang adik Izz, agar adik Izz kembali sihat. Kembali sihat.

Betul ... para doktor hanya merawat dan DIA lah jua yang menyembuhkan. Namun ... team Wad KK4 adalah yang terbaik. Iya, sangat terbaik. Aku tahu itu. Dedikasi, kesabaran dan hemat mereka tidak akan aku sekeluarga mampu membalasnya.


Bahkan para jururawat Wad KK4 IPHKL juga sangat mulia hatinya. Saat aku memerlukan bantuan, mereka hulurkan, biarpun diluar tanggungjawab mereka. Aku faham dengan keupayaan menjaga Wad KK4 IPHKL dengan pesakit yang ramai dan kekurangan staff, bukanlah mudah. Biarpun jururawat silih berganti, ada yang sejak dari mula adik Izz di Wad KK4 IPHKL sehinggalah sekarang masih menjaga adik Izz. Begitu, apa yang mampu aku ungkapkan ... staff di Wad KK4 IPHKL sentiasa memberikan yang TERBAIK buat semua pesakit dan waris mereka.

Siapa yang ajar ajar aku apa yang aku lakukan sepanjang adik Izz menjalani Home Parenteral Nutrition (HPN) Programme? MEREKA lah. Suka duka, senda tawa, gaduh baik, jeling-jeling, itu semua merapatkan hubungan aku dan mereka. Jika ada yang kata Wad KK4 IPHKL tidak bagus, aku BERANI kata sebaliknya. KAMU SEMUA YANG TERBAIK, STAFF WAD KK4 IPHKL. TERIMA KASIH!


Demikian juga yang sama-sama berkongsi suka duka ujian aku ini. Jagaan kalian, ziarah kalian, sokongan kalian, sumbangan kalian, Whatsapp kalian, SMS kalian, komen kalian dan doa yang dipanjatkan semua, sangat aku hargai. Hanya Allah yang mampu membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Kita semua dah macam keluarga. Waris, patients silih berganti, namun kita masih berhubungan sehingga kini, Inshaa Allah sampai bila-bila. AAMIIN.

~mama Izz


Share:

29 Dec 2016

STAFF UNIT PORTER IPHKL RAMAH

Bila adik Izz under Home TPN, aku perlu ambil sendiri stok TPN adik Izz di HKL dalam 3 kali seminggu bergantung kepada keadaan. Hari yang ditetapkan pharmacist ialah pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Maksima 3 pek yang aku akan dapat, biasanya pada hari Jumaat lah.

Dimana aku ambil stok TPN adik Izz?

Selalunya ... jika aku awal, aku akan ambil stok TPN di Unit Porter Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (IPHKL). Dan jika aku lewat, aku akan ambil stok TPN di Wad KK4 saja.


Staff di Unit Porter ni dah kenal aku agaknya? Bila nampak aku sambil pikul cooler box tertulis “TPN Izzsyraq", mereka akan sapa aku. Jika TPN dari farmasi lambat siap, mereka akan inform. Dan bila stok TPN sudah sampai, mereka akan berikan yang adik Izz punya dahulu.

Staff di Unit Porter IPHKL ni akan ambil semua stok TPN untuk wad-wad di Institut Pediatrik. Dan bila sampai, mereka akan call wad berkaitan untuk ambil TPN. Aku tak pasti tugasan core di Unit Porter ni, tapi aku pasti mereka jalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Kadang, aku menyembang juga dengan mereka sementara menunggu stok TPN sampai. Wajah mereka aku kenal, tapi aku tak pernah tanya pun nama mereka. Hehehe. Sori ye! Yang penting aku kenal korang dan korang pun kenal aku, kan.


Ingat lagi masa korang bergambar bila kena ambil TPN 33 pek tu. Senyum je aku melihat gelagat korang tu. Senget bahu pikul pek TPN yang banyak tu, kan? Nanti ada masa, kita borak-borak lagi ye. Inshaa Allah, kita akan kerap berjumpa lagi nanti ye.

Selamat maju jaya buat kalian.
Share:

20 Dec 2016

ELAKKAN CROWDED KECUALI ...

Ingat lagi bila aku pernah tanya doktor ... bila adik Izz berada di rumah, boleh atau tidak bawanya keluar berjalan-jalan? Doktor kata boleh BUT elakkan tempat-tempat yang crowded (sesak). Legalah dengar begitu, ingatkan `memerap' saja di rumah.

Aku ikut je apa kata doktor. Tapi ada ke tempat-tempat yang tidak sesak? Adaaa, sapa kata takdak? Aku pernah bawa adik Izz ke Alamanda Putrajaya. Itupun awal pagi lah sebabnya orang tak ramai lagi.

Aku pernah bawa adik Izz ke Ikea Cheras. Itupun semasa cuti Hari Raya Aidilfitri. Rasanya dalam raya ketiga aku bawanya. Memang orang tak ramai.


Aku pernah bawa adik Izz ke Dataran Masjid Putra Putrajaya. Pun sama juga, semasa cuti Hari Raya. Lengang saja. Adalah juga “tourist" yang datang. Hehehe. Bebas adik Izz disana.

Aku pernah bawa adik Izz ke Taman Persahabatan Malaysia China. Situ memang orang tak berapa ada. Yang ada pun, pasangan pengantin sedang bergambar. Banyak jugalah tempat aku pernah bawa adik Izz, semuanya tidak sesak. Timing kena betul.

Tapi, ada satu tempat yang bila aku bawa adik Izz, aku tak boleh elakkan crowded. Dimana? Bila adik Izz perlu TCA (To Come Again) ke Klinik Pakar Pediatrik, HKL. Sini je satu-satunya tempat yang aku tak boleh elakkan crowded. Hahaha. Takkan aku nak bawak adik Izz jam 2 pagi?
Share:

8 Nov 2016

SUKA DUKA SENDA GURAU SILIH BERGANTI

Laju je masa itu berlalu, kan? Dalam pada tiada harapan diletakkan, tengoklah .. sudah 3 tahun (1097 hari) adik Izz bersama-sama kita sejak hari pertama dia dimasukkan ke Wad ICU Hospital Putrajaya. Penuh dengan suka duka sepanjang 3 tahun adik Izz as Short Bowel Syndrome survivor.



Nak cerita pun, banyak yang sudah aku lupa. Cuma fokus kepada tahap kesihatan semasanya. Sekejap baik sekejap tidak, biasalah tu. Cuma kita jangan putus doa buatnya. Inshaa Allah adik Izz akan sembuh dan sihat.

Ok lah! Hehehe...
Share:

18 Oct 2016

BETUL KE TAK PERNAH JADI KAT ORANG LAIN?

Aku risau. Cukup cukup risau bila doktor kata, “apa yang jadi pada Izz tak pernah terjadi kepada orang lain." Aku kecilkan sikit skop terms “tak pernah terjadi" tu kepada anak-anak yang mungkin alami masalah seperti anak aku.



Macam sebelum ini, bila usus kecil anak aku tinggal 5 cm. Sebelum ini tiada yang miliki usus sependek itu. Sama juga seperti pembedahan sebelum ini apabila diberitahu “belum pernah dilakukan."

Entahlah. Aku bukan doktor, apa yang aku fikirkan lebih kepada logik aku je. Sekarang aku risau samada CVL anak aku boleh diselamatkan atau tidak? Sudah 12 kali adik Izz jalani `new cvl insertion', janganlah ada yang ke 13, jika diizinkanNYA.

Inshaa Allah.
Share:

15 Oct 2016

BILA TERDENGAR PASAL “MASALAH PENJAGAAN"

Satu-satunya perkara aku hendak elakkan ialah tidak mahu anak masuk wad. Bukan masuk wad sebab melawat, tetapi admit. And petang semalam adik Izz admit ward kerana CVL. Bukan kerana infection (jangkitan) tapo sebab lain? Hendak cerita detail pasal CVL pun, entahlah ... rasanya eloklah diamkan dulu. Nanti-nanti je cerita.

Aku dan mama Izz, malahan opah Izz dan atok Izz serta abang-abang adik Izz menjaga adik Izz `bagai menatang minyak yang penuh'. Tak lekang mata memandangnya, tak lekang daripada mengekori gerak gerinya.

Dressing? Aku dan mama Izz ikut semua step by step apa yang telah diajar. SEMUA. Cara begini, kami buat. Cara begitu, pun kami buat. Oklah, lari tajuk pula.



Ada yang sebut soal masalah penjagaan semasa di wad tadi buatkan aku terfikir, penjagaan bagaimana lagi yang dimaksudkan. Apa yang terjadi berkaitan dengan CVL adik Izz, semuanya yang berada di bawah Gauze & Hypafix. 23 jam 50 minit bertutup dengan Gauze & Hypafix. 10 minit saja sehari aku buka untuk mama Izz cuci CVL semasa hendak connect TPN.

Bagaimana untuk aku jaga CVL yang di bawah Gauze & Hypafix tu? Esok aku cuba minta penjelasan. Kalau ada nota, aku mahu buat salinan. Emo rasanya. Tadi dah lega, bila menaip, datang semula emo.

Admitted kali ini adalah yang ke-14. Berapa lama nak kena tahan? Wallahualam...
Share:

2 Aug 2016

MESTI ADA PERMULAAN

Apa-apa pun, pasti ada mulanya kan? Sejak adik Izz discharged, ini kali pertama adik Izz perlu TCA ke klinik Institut Pediatrik, HKL. Aku memang plan nak cuba bawa adik Izz dari Putrajaya ke HKL tanpa mama Izz.

Iyalah, kebiasaannya .. mama Izz pasti akan follow sekali bila adik Izz perlu ke wad untuk routine checkup. Jadi tukang pegang dan pemerhati. Berbeza untuk TCA kali ini, aku gamble untuk bersendirian dengan adik Izz.

Risau juga. Mana nak drive lagi, nak fokus pada jalan raya lagi, sambil itu nak kena perhati adik Izz sama. Adik Izz sudah berusia 3 tahun, dia dah besar pun. Jadi, aku letak kepercayaan yang adik Izz tidak akan buat masalah dan perjalanan aku lancar.



Alhamdulillah ... adik Izz berdiri di hadapan sepanjang perjalanan. Aku suruhnya duduk, dia tidak mahu. Takpalah, asalkan dia tidak ganggu tiub CVL. And aku sampai ke Institut Pediatrik, HKL tanpa apa-apa masalah. Syukur. Dah boleh dah nak bawanya jalan-jalan lepas ni.

Oh ya, lupa. Angah Izz pun follow sama. Berkeras nak ikut sama. Aku benarkan buat peneman adik Izz. Kata angah Izz, “angah nak ikut. Dah lama angah tak pergi hospital adik". Eh, yang setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat yang aku bawa dia sekali untuk ambil TPN tu bukan ke di hospital adik? Gasak lah.

Nanti aku nak test travel by train pulak dengan adik, tengok bagaimana. Apapun, doakan adik Izz sembuh hendakNYA ... In Shaa Allah.
Share:

TCA

Petang ini adik Izz TCA di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (IPHKL). Sebulan sekali rasanya. Maknanya, sejak adik Izz discharged bulan Jun lepas, ini TCA yang pertama. Wah, dah lebih sebulan rupanya adik Izz ber“Home TPN (HPN)" rupanya. Alhamdulillah.

TCA ni tidak sama dengan rutin 2 minggu sekali adik Izz tu. Kalau rutin 2 minggu sekali yang kena datang daftar di kaunter pediatrik, pergi ke wad KK4, ambil darah, timbang berat, dressing and check CVL, ambil stok Povidone, lepas tu .. dah boleh balik. Cepat dan pantas. Tak berurusan pun dengan doktor, adalah juga. Semua staff nurse yang buat.



TCA ni, kena jumpa doktor. Ambil nombor, daftar, letak kad dalam box depan bilik, tunggu lah sampai dipanggil. Macam-macam lah. Lama. Pernah lah sampai pediatrik nak tutup pun nombor belum dipanggil lagi. Faham-fahamlah ye.

Oh ya .. tau ke Apa Itu TCA? Yang aku fahamlah kan .. TCA tu maksud dia 'to come again' (temujanji), aku pun baru tahu.
Share:

9 Jun 2016

PROSEDUR DI DEWAN BEDAH PEDIATRIK

Masuk ke Dewan Bedah Pediatrik kali ke 27. Untuk menjalani pembedahan sahaja, 23 kali. Lagi 4 kali kerana prosedur yang perlu dijalankan ke atas adik Izz memerlukan ia dijalankan di dewan bedah

Kali ini, adik Izz tidak menjalani pembedahan, sebaliknya proses untuk betulkan Central Venous Line (CVL) dan tukar jahitan pada tiubnya, memerlukan ianya dilakukan di Dewan Bedah Pediatrik. Sekejap saja pun. 

Menuju ke Dewan Bedah Pediatrik
Jaranglah adik Izz nak ke dewan bedah diusung atas katil, mesti dia nak berdukung.

Adik Izz masuk ke dalam Dewan Bedah Pediatrik dalam jam 3.30 pm, lebih kurang jam 4.00 pm adik Izz sudah pun keluar. Itupun, adik Izz masih memerlukan bius penuh. Mamai mamai dia dibuatnya. 

Menanti di Dewan Bedah Pediatrik
Walaupun biasa, apa yang melibatkan dewan bedah pastinya merisaukan.

Apapun, semuanya selamat dan berjalan lancar. Aku harap, CVL kali ini dapat bertahan lama hendakNYA.


Share:

30 Oct 2015

PERATURAN DI WAD ICU PEDIATRIK

Pediatrics Intensive Care Unit (PICU), Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur. Sudah 25 hari adik Izz ditempatkan disini. Belum ada tanda-tanda adik Izz akan dipindahkan ke wad biasanya iaitu Wad KK4, Institut Pediatrik. Sepanjang berada di wad ICU ini, seingat aku sudah 6 kali adik Izz masuk ke dalam dewan bedah. 4 kali untuk jalani pembedahan (pembedahan ke 18 hingga pembedahan ke 21) dan 2 kali untuk tujuan 'dressing'. Sepanjang tempoh ini jugalah adik Izz berbaring sahaja dan adik Izz masih lagi berpuasa sejak pembedahan ke 17 nya. 

Wad ICU sini aku dapati agak 'kompromi'. Tapi bukanlah sampai tahap semuanya tidak boleh. Ada yang dibenarkan dan ada yang mengikut budi bicara. Sedia maklum, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun memang tidak dibenarkan masuk, kan? Tapi, Alhamdulillah along Izz pernah dibenarkan masuk sekejap melihat adik Izz. Itu pun pada masa itu orang tidak ramai dan kebetulan katil adik Izz katil no. 1 betul-betul berhampiran dengan pintu masuk. Terima kasih doktor. Angah Izz tidak berpeluang seperti along Izz. Hehehe.

Patuhilah peraturan di wad ICU

Aku dan mama Izz pula tiada had untuk keluar masuk mulai jam 8:00 AM sehingga jam 10:00 PM bergantung kepada keadaan. Iyalah, jika doktor sedang melakukan rondaan, memang kami kena keluar lah. Then, bila sudah selesai, boleh masuk semula. Aku sangat-sangat berharap adik Izz akan keluar dari wad ICU dalam masa terdekat. Bukan apa, sudah lama sangat adik Izz tidak berjumpa dengan abang-abangnya. Pasti adik Izz sangat-sangat rindukan mereka. Mereka pun sama, hari-hari bertanyakan pasal adik Izz. 

In Shaa Allah, mudah-mudahan dimakbulkan Ilahi doa-doa kita semua.
Share:

12 Oct 2015

PEMBEDAHAN SIRI KE 18 | PILIHAN HIDUP DAN MATI

Pembedahan kali ini perlu dilakukan kerana adik Izz agak tenat waktu ini. Aku fikir keadaan adik Izz akan bertambah baik selepas pembedahan ke 17 sebelumnya. Tetapi tidak sehingga adik Izz terpaksa dimasukkan ke wad ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Bakteria/ kuman yang menjangkiti adik Izz agak kuat. Malahan ia sangat kuat. Kulit adik Izz seakan terbakar jadinya. Habis satu badannya sudah bertukar warna. 

Aku dapat panggilan daripada mama Izz mengatakan doktor ingin berjumpa kami berdua. Kami diterangkan tentang keadaan adik Izz waktu itu. Hanya dua pilihan yang diberi iaitu meneruskan dengan pembedahan (theory) ataupun tidak buat apa-apa biarkan adik Izz 'pergi'. Kami tanpa berfikir panjang, yang mana selagi ada jalannya, kami bersetuju diadakan pembedahan. 

Pembedahan dijalankan pada petangnya juga memandangkan adik Izz tenat ketika itu. Pada pembedahan kali ini, didapati air dari usus kecil adik Izz yang disambungkan dengan tiub pada pembedahan sebelum ini telah bocor keluar. Air daripada usus kecil berkenaan telah bercampur dengan bakteria/ kuman yang ada dalam darah adik Izz sebelum ini. Doktor bertindak mencuci air berkenaan dan tiub yang disambung pada usus kecil adik Izz dicabut. 

Usus adik Izz masih belum boleh disambung lagi kerana masih baru menjalani pembedahan memisahkan usus. Jadinya, doktor seal usus berkenaan dan sambungkan dengan tiub baru yang lain dan keluarkannya melalui Gastrostomy adik Izz. 

Pilihan antara hidup dan mati

Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar. Walaupun ada plan yang agak sedikit bertukar. Perutnya disambungkan dengan vacuum bertujuan membersihkan. Luka pembedahan pula dibiarkan terbuka dan hanya ditutup dengan plastik. Tujuannya untuk memudahkan adik Izz dipantau.


Share:

8 Oct 2015

KATA PAKAR DIA STABIL, TAPI

Sejak pagi hati tidak senang apabila mama Izz mengatakan yang adik Izz perlukan 'ventilator' atau alat bantuan pernafasan. Katanya adik Izz sangat lemah dimana dia tidak cukup untuk bekerja sendiri mendapatkan oksigen. Allahuakbar. Pakar semalam kata adik Izz memanglah kritikal tapi bukan pada tahap membimbangkan. Selagi dia tidak perlukan alat bantuan pernafasan, selagi itu dia dalam keadaan baik. Dan tiba-tiba? 

Lama aku tunggu untuk dapatkan penjelasan pakar bedah berkenaan adik Izz. Info banyak aku dapat daripada pakar di ICU namun masih kena tunggu apa kata pakar bedah. Seharian aku menanti dengan keadaan adik Izz tidak menentu. Tekanan darah masih rendah ditambah lagi doktor di ICU perlu buat 'line' baru di lehernya, tambah pula dengan lebam seakan terbakar dibahagian CVL. 

Pediatrics Intensive Care Unit (PICU)
Parents boleh keluar masuk mulai 8am - 10pm kecuali waktu doktor buat prosedur.

Entahlah, tak keruan rasanya. Rasanya, sekitar 7pm lebih barulah berpeluang berjumpa pakar untuk dapatkan kepastian berkenaan adik Izz. Kata pakar, keadaan adik Izz stabil buat masa sekarang walaupun dia masih memerlukan 'ventilator' untuk bernafas. Sekejap-sekejap akan dijalankan operasi sedut kahak. 

Berkenaan dengan kesan lebam 'ungu kehitaman' sebesar tapak tangan dibahagian kanan bawah tiub CVL itu, katanya bukanlah 'Sepsis' (ditakrifkan sebagai kehadiran/ kebanjiran organisma patogenik atau toksin dalam darah atau tisu-tisu lain). Cuma air yang dikeluarkan daripada usus bergabung dengan bakteria yang menjangkiti darahnya dan menyerang luka pembedahan. Katanya akan sembuh sendiri. 

Dia mendengarnya, cuma tidak mampu memberi respons
mama Izz bercuti. Selagi adik Izz di ICU, selagi itu dia akan bercuti.

Adik Izz masih belum sedarkan diri. Pakar masih menunggu result darah untuk kenalpasti bakteria. Beberapa jenis antibiotik juga sedang diberi. Tekanan darahnya masih menurun tetapi diberi beberapa ubat untuk mengekalkan/ meningkatkan tekanan darahnya. Apa yang ada kini pada adik Izz? 

Tiga tiub disambungkan ke tiub CVL untuk tekanan darah. Tiga tiub di leher untuk antibiotik. Beberapa tiub di lengan untuk ubat lain dan drip. Satu tiub dalam mulut untuk bantuan pernafasan. Satu tiub dalam hidung untuk keluarkan air dari perut/ elak muntah. Beberapa tiub di bahagian perut untuk buangan serta satu tiub untuk saluran kencingnya. Matanya masih di 'tape' bagi mengelakkan kerosakan kornea mata.

Aku tetap risau. Pada aku, selagi dia di ICU selagi itulah dia masih kritikal. 


Share:

6 Oct 2015

DIPINDAHKAN KE PEDIATRIC INTENSIVE CARE UNIT (PICU)

Ini yang dikatakan takdir. Aku baru berasa sedikit lega kerana selesai pembedahan, adik Izz hanya diletakkan di wad biasa. Aku fikir itu satu berita yang baik kerana adik Izz dalam keadaan yang stabil. Tapi, sekejap sahaja sedikit keceriaan yang aku dapat. Aku dapat panggilan daripada mama Izz menyatakan adik Izz akan dipindahkan ke wad ICU. Allahuakbar. Bergegas aku dari pejabat pergi ke Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur. 

Memang bila aku sampai, doktor dan jururawat sedang mempersiapkan adik Izz untuk ke ICU. Dengan nafasnya yang agak laju ditambah pula tekanan darahnya yang semakin menurun. Walaupun adik Izz sudah diberi 2 pek darah baru, namun tekanan darahnya tetap menurun. Keadaan demam yang dialaminya menambah buruk keadaan. Lama aku dan mama Izz ambil masa untuk meredakan diri saat itu. Mama Izz tidak henti-henti menangis. 

Pediatrik ICU HKL
Ada rezekimu di dunia ini anakku. Tabahlah anakku

Ditempatkan di wad ICU, tak ramai yang boleh masuk untuk melihatnya. Berganti-ganti antara parents dan saudara mara serta kawan-kawan yang hadir. Keadaannya kritikal. Kata pakar, ada jangkitan kuman pada darah. Kuman yang hadir dari usus yang membengkak kesan pembedahan kelmarin. Walaupun antibiotik diberi, ada kuman yang 'resistance' dengan ubat itu. Doktor akan tukar-tukar antibiotic sehingga benar-benar membunuh kuman berkenaan. 

Selain itu, didapati ada air di dalam perutnya. Bukan air daripada drip, bukan air kotor dan bukan air bersih. Aku tidak berapa faham dengan bab ini. Aku tinggalkan adik Izz malamnya kerana selepas jam 10pm, parents tidak boleh berada di dalam wad ICU. Kali terakhir aku tinggalkannya, memang keadaannya agak lemah. Berselirat wayar dan tiub padanya.

Terima kasih pada keluarga yang sanggup datang dari Pahang menziarahi kami dan adik Izz. Juga adik beradik yang lain, saudara mara serta kawan-kawan yang hadir. Tak terbalas kami dengan budi baik semua. Sahabat satu Malaysia turut mendoakan adik Izz. In Shaa Allah, pasti ada doa-doa kita yang dimakbulkanNYA.


Share:

7 Apr 2015

PULANGLAH DENGAN SIHAT ANAKKU

Assalammualaikum . . .


Jangkaan kepulangan anakanda tercinta adik Izz yang diberi doktor adalah Isnin hadapan. Dan seperti sebelum-sebelum ini apabila diberitahu pakar yang adik Izz sudah boleh pulang, adik Izz akan mula tidak sihat. 

adik Izz kuat. Harap kekuatanmu itu berkekalan hendakNya.

Sekejap dia akan demam, selsema, batuk-batuk dan pelbagailah. Ini semua sebenarnya akan membantutkan sedikit proses kepulangan adik Izz. Iyalah, takkanlah doktor hendak melepaskan patient mereka yang masih sakit, kan? 

Dan semalam? Emmm, adik Izz sudah mula batuk-batuk dan muntah-muntah pula. Kebetulan opah Izz yang ambil alih menjaga adik Izz semalam, adik Izz pula agak kurang sihat itu, nampaknya tak lena tidurlah opah Izz. 

Tidak mengapa, hari ini mama Izz yang akan menjaga adik Izz pula. Aku harap adik Izz cepatlah baik, bukan apa nanti akan melanjutkan tempoh 'penahanan' di wad pula. 

Sudah tidak sabar rasanya hendak membawa adik Izz pulang. Terbayangkan setiap hari apabila aku, mama Izz, along Izz dan angah Izz pulang sahaja akan disambut oleh adik Izz dirumah. Mesti best! Harap Allah lancarkan perjalanan kami dan adik Izz ini. 

Inshaa Allah.

Share:

1 Apr 2015

TIADA HADIAH YANG SETANDING 'HADIAH' INI

Assalammualaikum . . .

Semalam merupakan hari lahir adik Izz yang ke 2 TAHUN. Kakitangan dari bahagian Nutrisi Parenteral (TPN) Hospital Kuala Lumpur bermurah hati memberikan adik Izz hadiah. Terima kasih diucapkan. Nenek Izz dan acik Lin Izz juga sudi singgah menziarahi adik Izz walau seketika. 

Tak sabar-sabar adik Izz ingin buka hadiah itu. 

Boleh dikatakan kakitangan TPN akan datang setiap hari untuk meninjau keadaan adik Izz. Nutrisi Parenteral (TPN) diberikan kepada adik Izz bergantung kepada keperluan hariannya berdasarkan keadaan semasanya. Maknanya akan ada gizi yang ditambah dan ada gizi yang akan dikurangkan. Jumlah jam diberi pula bergantung kepada saranan pakar. 

Excited sangat adik Izz dengan hadiah itu.

Aku belum beri apa-apa hadiah lagi buat adik Izz. Perancangan dengan mama Izz adalah untuk jamu kakitangan wad KK4 Institut Pediatrik itu pada Isnin hadapan disamping adik Izz potong kek. Inshaa Allah. 

Waktu adik Izz perlu mandi, tapi masih belum boleh buka hadiah. 

Pagi semalam, doktor ada memberitahu opah Izz yang pada petangnya ingin berjumpa dengan parent adik Izz. Dalam hati ini, macam-macam yang difikirkan. Mungkinkah adik Izz akan jalani ujian lain? atau mungkinkan adik Izz akan jalani pembedahan lagi? 

Dan petang semalam apabila berjumpa dengan doktor, doktor cuma kata "adik Izz akan continue dengan Home TPN. Mungkin secepat-cepatnya dibenarkan pulang minggu hadapan". Allahuakbar, Alhamdulillah. Benarkah berita yang aku dengar ini? Gembira rasanya apabila mendengar perkhabaran itu. Opah Izz yang sebelum itu agak emotional, juga berubah air mukanya. Tampak opah Izz sangat gembira dengan berita itu.

Akhirnya. Terima kasih kepada kakitangan TPN atas hadiah diberikan

Sebelum ini, adik Izz telah jalani 2 kali ujian OFF Nutrisi Parenteral (TPN) selama 2 hari. Pada aku, ianya agak kurang berjaya kerana adik Izz Hypo. Pelan awal adalah untuk benarkan adik Izz pulang tanpa TPN, dan admit untuk TPN. Apabila ujian agak tidak membuahkan hasil, pelan diubah kepada Home TPN iaitu pulang dengan TPN dilakukan dirumah. 

Tapi, sebelum itu, mungkin dalam beberapa hari ini, kakitangan TPN akan melihat mama Izz melakukan sendiri dressing untuk TPN. Nampaknya mama Izz kena refresh lah semula tentang cara-cara dressing TPN. Sebelum ini mama Izz sudah pernah lakukannya kerana adik Izz pernah ber Home TPN selama 59 HARI di rumah. 

Semoga apa yang dirancangkan ini akan berjalan lancar dan dipermudahkanNya. Mendengar perkhabaran adik Izz boleh pulang merupakan 'hadiah' yang paling bermakna. Inilah pemberian Ilahi kepada aku sekeluarga.

Mudah-mudahan.

Kepada semua yang mengucapkan selamat hari lahir kepada adik Izz disamping mendoakannya melalui fb, page, sms, whatsapp dan sebagainya, TERIMA KASIH banyak-banyak ye!


Share:

27 Mar 2015

PATUTLAH TERGERAK HATI NAK BAWA MEREKA MASUK

Assalammualaikum . . .


Sama, tidak berubah apa-apa langsung pun. Aku akan ambil angah Izz dari taska jam 4.15PM, punch out jam 4.30PM, jemput along Izz dari sekolah jam 4.45PM dan seterusnya jemput mama Izz dari pejabat jam 5.00PM. Kemudian aku akan terus ke Institut Pediatrik HKL untuk jemput opah Izz sekitar jam 5.30PM kerana tiba masa mama Izz take over jaga adik Izz di wad. Memang begitulah hari-hari berlalu dengan rutin yang sama. 

Seronok kan melihatnya? Aku pun amatlah bahagia rasa masa itu.

Namun, petang semalam tergerak hati untuk bawa along Izz dan angah Izz menjenguk adik Izz di wad. Iyalah, selalunya samada Sabtu atau Ahad barulah aku bawa mereka berjumpa dengan adik Izz. Mungkin Tuhan ingin beri peluang kepada Izz bertiga bermain bersama-sama, semalam aku masuk wad adik Izz masih belum ON Nutrisi Parenteral (TPN). Dan waktu itu adik Izz sedang berjalan-jalan sekitar wad.

Along Izz dan angah Izz akan ikut kemana saha adik Izz pergi.

Dan adik Izz juga akan cuba ikut apa yang along Izz dan angah Izz lakukan
Betapa gembiranya adik Izz dari kejauhan lagi apabila nampak kedatangan along Izz dan angah Izz. Berlari-lari mendapatkan abang-abangnya. Allahuakbar. Along Izz dan angah Izz juga gembira melihat adiknya berjalan-jalan. Aku lihat mereka bermain berkejaran berjalan-jalan bergurau senda. 

Seronoknya rasa. Hilang penat aku waktu itu. Alhamdulillah, peluang yang diberikanNya untuk anak-anak bermain. Walaupun singkat, mereka sangatlah gembira malah aku sendiri tersenyum melihatnya.

Bukan senang melihat mereka bertiga begini sebebas-bebasnya.

Hope momen ini akan berterusan dengan kesembuhan adik Izz.
Selalunya, apabila aku bawa along Izz dan angah Izz masuk, adik Izz sudahpun ON Nutrisi Parenteral (TPN) dan tidak boleh kemana-mana lagi melainkan bermain di atas katilnya sahaja. Tetapi, semalam? 

Hanya Allah yang tahu betapa gembira dan syukurnya aku dengan nikmat yang diberikanNya itu. Alhamdulillah. Berharap agar suasana seperti itu akan kekal selamanya. Semoga adik Izz diberikan kesembuhan olehNya. 

Inshaa Allah.

Share:

23 Mar 2015

HARI TANPA NUTRISI PARENTERAL (TPN)

Assalammualaikum . . .


Bermulalah ujian hari tanpa Nutrisi Parenteral (TPN) buat adik Izz. Ujian awal ini dibuat untuk 2 hari dahulu untuk lihat keadaannya samada adik Izz boleh adapt tanpa Nutrisi Parenteral (TPN) disamping membiarkan feeding tube Gastrostomy ambil alih peranan. 

Be strong my boy. Theres so many effort to save and give you the best. inshaa Allah

Semalam (Ahad) sudah mula diberhentikan pemberian nutrisi. Sebagai backup, jumlah susu yang diberi melalui feeding tube Gastrostomy adik Izz telah ditambah daripada 60ML kepada 75ML. Pada mulanya adik Izz muntah-muntah agak banyak namun beransur kurang. 

Dari segi buang air besar pula, agak banyak juga. Semalam sahaja 9 kali adik Izz buang air besar. Mungkin belum terbiasa OFF Nutrisi sambil ON Gastro. Perkara yang paling dikhuatiri apabila Nutrisi Parenteral (TPN) diberhentikan adalah HYPO. Alhamdulillah, sehingga ke pagi ini (Isnin), ujian darah menunjukkan tiada tanda-tanda dia HYPO. Kena tengok dahulu keadaannya pula hari ini bagaimana. 

Melihat jauh, memanggil rakan-rakan agar ke katilnya menemaninya.

Semua ujian ini bertujuan untuk beri peluang adik Izz pulang tanpa Nutrisi Parenteral (TPN). Disamping mengurangkan risiko jangkitan Central Venous Line (CVL), ujian juga bertujuan mengurangkan kebergantungan adik Izz kepada Nutrisi Parenteral (TPN). Atas sebab itu, feeding tube Gastrostomy akan jadi bekalan sebagai backup untuk adik Izz. 

Untuk info, adik Izz akan dibenarkan pulang seawal-awalnya April ini. Mengikut perancangan pakar, sebagai permulaan adik Izz akan pulang pada setiap hari Khamis dan akan masuk wad semula pada setiap hari Ahad. Kepulangan tanpa Nutrisi Parenteral (TPN) dan kemasukan ke wad untuk Nutrisi Parenteral (TPN). 

Bagi adik Izz yang pada hujung bulan ini genap 2 tahun, pemberhentian terus Nutrisi Parenteral (TPN) bukanlah satu pilihan. Dengan usus kecil yang sepanjang 8CM, agak mustahil untuk adik Izz berhenti daripada diberi Nutrisi Parenteral (TPN). 

Keadaan semasa hanya kurangkan guna Nutrisi Parenteral (TPN), kurangkan isipadu TPN, dan tingkatkan jumlah susu yang diberi melalui feeding tube Gastrostomy. Secara oral, masih seperti biasa. Beri bubur dan sedikit susu serta banyak air masak. 

Kedatangan along Izz dan angah Izz, sedikit sebanyak menghiburkan adik Izz walau sekali seminggu.

Inshaa Allah, adik Izz akan beransur-ansur sembuh.


Share:

21 Mar 2015

KESEMBUHAN ADIK IZZ MENJADI KEUTAMAAN

Assalammualaikum . . .

Menanti adik Izz pulang umpama menanti sesuatu yang sangat-sangat didambakan. Mana tidaknya, sudah lama sangat adik Izz ditahan di wad. Sejak sekian lama, adik Izz tetap di wad yang sama iaitu Wad KK4, Institut Pediatrik HKL. 

Patient keluar masuk, namun adik Izz tetap disana. Dua tiga kali keluar masuk, namun adik Izz tetap juga ada. Keutamaan sebenarnya adalah melihat adik Izz sembuh dan sihat, jadi berapa lama adik Izz di wad tidak berapa difikirkan sangat oleh aku dan mama Izz. 

Opah Izz setia menemani adik Izz di wad. Beri peluang mama Izz bekerja. Terima kasih opah Izz

Kesiankan dengan opah Izz yang sudah berusia itu. Berulang alik, berganti-ganti menjaga adik Izz di wad, meninggalkan atok Izz keseorangan di rumah, tinggalkan rumah di kampung halaman. Aku tahu mereka penat dan letih, rindukan suasana kampung walaupun mereka tidak mengatakan demikian. 

Sepatutnya pada usia emas begitu, atok Izz dan opah Izz berehat mengisi masa bersama-sama. Apakan daya keadaan memaksa dan pengorbanan itu dituntut. 

Alhamdulillah kami semua diberikan kesihatan olehNya untuk terus menjaga adik Izz. Harapan agar doa-doa kita semua dimakbulkan Ilahi untuk melihat adik Izz sembuh dan segalanya akan kembali normal sediakala.

Inshaa Allah.


Share: