Showing posts with label Institut Pediatrik HKL. Show all posts
Showing posts with label Institut Pediatrik HKL. Show all posts

13 Apr 2017

WAD KK4 IPHKL TIDAK BAGUS, SIAPA KATA?

Menjaga adik Izz sejak bayi penuh dengan kisah yang mematangkan aku. Pada usianya 7 bulan, adik Izz dimasukkan ke Wad ICU Hospital Putrajaya selama 5 hari. Aku rasakan 5 hari itu sudah cukup lama, cukup menguji emosi. Padahal, aku tak tahu yang pada masa hadapan, Allah bakal menguji aku dengan ujian yang lebih besar. Begitulah... 

Dari Hospital Putrajaya, adik Izz dikejarkan ke Wad PHDW, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (IPHKL). Subhanallah, 10 hari adik Izz disitu sebelum dipindahkan ke Wad KK4 IPHKL. Siapa sangka kan ... adik Izz akan menghuni LAMA di Wad KK4 IPHKL? Hampir 6 bulan lamanya. Yup, 6 bulan. Bukan 6 hari, bukan 6 minggu. Itu kali pertama adik Izz di wad.

Ada yang lagi lama, 8 bulan di Wad KK4 IPHKL. Itu semasa kali ke-6 adik Izz di wad. Sehingga saat ini, adik Izz sudah berada di Wad KK4 IPHKL hampir 830 hari keseluruhannya. Aku akhirnya sudah menjadi biasa dengan rutin sepanjang menjaga adik Izz di Wad KK4. Waktu untuk doktor round wad bila, waktu untuk makan ubat bila, waktu makan pagi tengahari malam bila, waktu adik Izz melelapkan mata bila, apa medical terms untuk prosedur yang dilakukan.



Namun, biarpun dilihat tempoh itu sangat lama, ada hampir 30 malam yang aku rasa seolah-olah berjalan tidak pijak tanah, kerana risaunya, kerisauan yang sangat besar. Orang kata "makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena". Itulah 30 malam adik Izz di PICU (Pediatric Intensive Care Unit).

Pada saat ini, aku rasakan betapa kerdilnya lah aku ini, betapa bermaknanya lah setiap sujud aku kepada Ilahi. Kerana aku meminta dengan sesungguh hati aku. Tidak ada yang tidak terluah kepada Allah. Semuanya aku luahkan, semuanya tentang adik Izz, agar adik Izz kembali sihat. Kembali sihat.

Betul ... para doktor hanya merawat dan DIA lah jua yang menyembuhkan. Namun ... team Wad KK4 adalah yang terbaik. Iya, sangat terbaik. Aku tahu itu. Dedikasi, kesabaran dan hemat mereka tidak akan aku sekeluarga mampu membalasnya.


Bahkan para jururawat Wad KK4 IPHKL juga sangat mulia hatinya. Saat aku memerlukan bantuan, mereka hulurkan, biarpun diluar tanggungjawab mereka. Aku faham dengan keupayaan menjaga Wad KK4 IPHKL dengan pesakit yang ramai dan kekurangan staff, bukanlah mudah. Biarpun jururawat silih berganti, ada yang sejak dari mula adik Izz di Wad KK4 IPHKL sehinggalah sekarang masih menjaga adik Izz. Begitu, apa yang mampu aku ungkapkan ... staff di Wad KK4 IPHKL sentiasa memberikan yang TERBAIK buat semua pesakit dan waris mereka.

Siapa yang ajar ajar aku apa yang aku lakukan sepanjang adik Izz menjalani Home Parenteral Nutrition (HPN) Programme? MEREKA lah. Suka duka, senda tawa, gaduh baik, jeling-jeling, itu semua merapatkan hubungan aku dan mereka. Jika ada yang kata Wad KK4 IPHKL tidak bagus, aku BERANI kata sebaliknya. KAMU SEMUA YANG TERBAIK, STAFF WAD KK4 IPHKL. TERIMA KASIH!


Demikian juga yang sama-sama berkongsi suka duka ujian aku ini. Jagaan kalian, ziarah kalian, sokongan kalian, sumbangan kalian, Whatsapp kalian, SMS kalian, komen kalian dan doa yang dipanjatkan semua, sangat aku hargai. Hanya Allah yang mampu membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Kita semua dah macam keluarga. Waris, patients silih berganti, namun kita masih berhubungan sehingga kini, Inshaa Allah sampai bila-bila. AAMIIN.

~mama Izz


Share:

16 Nov 2016

JIKALAU ORANG TAK SUKA TAK APA ... TUHAN MASIH MENYAYANGIKU

Beginilah ... Dah lebih 3 tahun adik Izz mendapatkan rawatan di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur. Melihat kepada keadaan semasa, rasanya bertahun-tahun lagilah adik Izz akan mendapatkan rawatan disini. Jika dipandang pada ayat “TPN for life", gayanya sampai masing-masing pencenlah adik Izz akan mendapatkan rawatan disini juga, Inshaa Allah jika dipanjangkanNYA umur ini.

Warga Institut Pediatrik ni dah macam adik-beradik dah dengan parents, dengan patients semua. Ala...biasalah jika ada perselisihan faham, gaduh-gaduh tak puas hati tu. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula kita manusia. Tersilap kata, terlanjur bahasa, terguris perasaan, tertinggi suara, tersalah tegur.


Macam aku ni haa, aku tiada langsung basic medical. Apa yang aku tahu, mungkin melalui apa yang telah aku lalui. Mungkin juga melalui apa yang aku dengari. Mungkin juga melalui En. Google. Mungkin juga melalui media sosial. Atau mungkin melalui logik akal aku sendiri.

Macam ni lah ... Jika ada warga Institut Pediatrik HKL yang berasa hati dengan keluarga adik Izz, bagitahu saja. Jumpa aku pun boleh, nak jumpa mama Izz pun boleh, hantar surat pun boleh, hantar emel pun takpa, letak kertas dalam pek TPN pun boleh malah jika ada yang kenal kereta aku tu, nak letakkan memo pada wiper pun boleh. Yang mana tahu akaun media sosial aku tu, boleh je PM.

Aku bukan apa... Jika aku dan keluarga ada berbuat salah, beritahu saja. Aku akan memohon maaf dan perbetulkan apa yang silap. Tak mahulah ada yang bermasam muka. Tak mahulah ada yang menyampah pula bila nampak family Izz ni. Tak mahulah jika disebabkan kami, ada warga Institut Pediatrik yang terganggu kerja seharian dan rasa tidak bersemangat.

Kalian pun ada tekanannya. Kami pun sama, ada tekanannya. Jangan kita berlaga, sudahlah. Baiklah, jika ada warga Institut Pediatrik yang berasa hati selama kami menetap dan akan menetap nanti, bolehlah jumpa terus dengan aku, atau mama Izz. Jika tidak, emel sahaja kepada aku di ekjozbuluh@gmail.com.

Biarlah ikatan ukhwah kami dan warga Institut Pediatrik HKL berkekalan selamanya. Sama-sama gembira, sama-sama bersedih, sama-sama memperbaiki, sama-sama bekerja. Inshaa Allah.
Share: