Post Top Ad

October 20, 2017

10 TAHUN IJAB QABUL


Hari istimewa rupanya hari ini, hari ijab qabul aku dan mama Izz 10 tahun lalu. Kalau bukan mama Izz yang ingatkan aku, memang aku tak ingatnya. Alang-alang aku diingatkan, eloklah aku coret kat sini. Akan datang, Inshaa Allah aku tak lupa lagi. Baca je kat sini nanti.

Aku berkenalan dengan mama Izz ni dah lama. Sejak dari bangku sekolah lagi, form 4 rasanya. Kami ni satu sekolah tapi berlainan kelas. Sekadar kawan, tak lebih daripada itu. Selepas SPM, kami masing-masing membawa haluan diri. Terputus hubungan terus.

Ditakdirkan, selepas 4 tahun kami bertemu semula. Adakah ini suratan atau kebetulan? Jeng, jeng, jeng. Tak lama, sebulan pertemuan terus kami declared “couple". Hahaha. Ala, dia single aku pun single masa tu! Takde sapa akan terluka pun.

3 tahun aku kapel dengan mama Izz, aku ambil keputusan untuk masuk merisik mama Izz. Aku ni jenis ikut step sikit, sambil-sambil tu nak kumpul duit sama. 6-7 bulan selepas itu, aku pun meminang mama Izz. Lama aku letak tempoh pertunangan, 2 tahun. Kedua belah family pun setuju je dengan syarat aku.

DitakdirkanNYA .. 1 tahun selepas aku ikat tali pertunangan dengan mama Izz, kami pun bernikah. Aku ingat datenya, 20 Oktober 2007. Dan kini, sudah 10 tahun aku dan mama Izz sebagai suami isteri. Kami dikurniakan 3 orang anak, kesemuanya anak lelaki, Alhamdulillah.

Kami dah melalui banyak hal. Menangis, tertawa, bersedih, gembira, terluka, bahagia, semua ada. Ala, sama juga dengan pasangan suami isteri yang lain-lain. Biasalah tu. Perjalanan kami ini pun masih lagi panjang dan mungkin lebih berliku. Aku harap, mama Izz tak jemu-jemulah dengan aku ni. Terima kasih mama Izz kerana selalu ada menemani aku selama ini. Semoga setiap langkah kami ini senantiasa dilindungiNYA dan dijagaiNYA.

Selamat Ulangtahun Perkahwinan ke 10.
October 16, 2017

SNAP PIC CVL

Aku suka snap pic CVL adik Izz. Bukan apa, aku cuma nak tahu ada apa-apa perubahan tidak pada CVL adik Izz. Bukan hari-hari aku dapat lihat CVLnya kerana doktor sarankan agar dressing CVL adik Izz dilakukan selang 2 hari sekali, bergantung kepada keadaannya. Jika hari ini aku dressing CVL adik Izz, maknanya lusa barulah aku dapat lihat CVLnya semula.

Jika ada kelainan pada CVL adik Izz, biasanya aku akan refer kepada doktor dan pharmacist yang merawat adik Izz untuk tindakan seterusnya. Jika serius, perlu ke wad. Jika tidak serius, tak mengapa. Begitu juga dengan keadaan kesihatan adik Izz. Selalu aku akan refer kepada perawat adik Izz samada perlu ke wad atau hanya dapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran.


Snap pic CVL adik Izz ni ada pentingnya. Contohnya bila TCA di wad, kadang-kadang adik Izz tak perlu pun untuk dressing. Jadi aku cuma tunjukkan gambar CVL sahaja kepada doktor, gambar CVL terkini. Dari gambar, sekurang-kurangnya doktor dapat gambaran kasar.

Macamana dengan sterility semasa dressing bila aku snap pic CVL adik Izz? Aku cuma assistant mama Izz, jadi aku kurang terikat dengan bab sterile ni cuma aku perlu follow juga lah rules “Clean Technique" tu. Mama Izz lain lah, dia perlu follow rules Clean Technique dan Aseptic Technique tu. Aku pegang CVL adik Izz pun jauh dari exit site CVLnya. Snap pic CVL pun sekadar sekeping dua, jadi aku tak ganggu sterility proses dressing CVL dan connect TPN adik Izz.

Lagipun, zaman sekarang kan zaman camera phone. Apa guna kamera kalau tak gunakannya. Hihihi. Tak adalah, aku memang suka snap pic anak-anak. Dalam gallery phone ni, penuh dengan folder gambar anak-anak. Bila nak habis storage, aku transfer lah ke external HDD ataupun ke PC. Cukup setahun, aku buatlah photobook ataupun hantar cuci untuk selected pic. Semua itu kenangan.


Gambar isteri? Tak ada. Buat berat memory phone aku je. Hahaha.
October 15, 2017

KALAULAH AKU HILANG SABAR

Sabar je lah dengan kerenah anak-anak sekarang ni. Kalau tak sabar, boleh hilang pedoman. Bukan apa, takut menyesal tak sudah je nanti. Contohnya macam yang berlaku pada aku tadi. Bila fikirkan, memang sangat-sangat geram dibuatnya. Emmm!

Aku ada 3 anak lelaki. Ketiga-tiganya boleh dikatakan nakal, biasalah kan budak-budak. Tapi bila ketiga-tiganya bersama-sama, kenakalan mereka tu berganda-ganda. Bila mereka baik, alahai sejuknya hati. Namun bila mereka mula buat hal, boleh berapi wo.

Hari ini, hari untuk dressing CVL adik Izz. Macam biasalah mama Izz akan siapkan semua kelengkapan adik Izz tapi bila sampai ke kotak Hypafix, rasa ringan. Buka kotak, kosong. Mana pula pergi gulungan Hypafix ni? Dah lah baru beli kelmarin. Pagi tadi selepas disconnected TPN, elok je ada tersimpan dalam storage rack. Petang, Hypafix sudah hilang.


Kalau tak dressing CVL, tak perlu pun Hypafix ni. Hypafix ni takkan keluar dari bilik khas adik Izz kecuali dia perlu TCA di wad. Selain daripada tu, memang Hypafix akan tetap berada dalam bilik khas ni. Tapi, KENAPA Hypafix tiada?

Aku tanya sorang-sorang anak-anak aku. Aku tanya along Izz “Along ada main plaster adik tak?", tak main kata along. Aku tanya angah Izz “Angah ada main plaster adik tak?", tak main kata angah. Aku tanya adik Izz “Adik ada main plaster tak?", pun sama juga, tak main katanya. Habis tu, dimana Hypafix?

Fikir-fikir, mungkin ada terbuang tapi bila aku godek-godek tong sampah, tiada pun. Satu rumah aku cari. Bawah katil, dalam peti ais, celah sinki, dalam bekas mainan, dalam mesin basuh, semua celah rumah lah aku geledah tapi tiada. Adusss, 4 tahun adik Izz dengan Home TPN, tak pernah jadi lagi Hypafix hilang. Takkan ada hantu kot? Buat apa hantu tu nak buat dengan Hypafix?


Akhirnya, aku terfikir untuk lihat di bawah apartment aku ni. Mana tahu ada yang buang kat tingkap ke. Kalau mainan tu, memang biasa “terjun" dari tingkat 8 ni. Tengok kat bawah, ada Hypafix, berbelit-belit gulungannya. Aduhai, siapa lah yang buang Hypafix ni? Hangin betul aku!

Naik atas, aku pun panggil seorang anak masuk ke dalam bilik dan soal siasat. Dia mengaku akhirnya yang mana pada mulanya mengaku tak tahu apa-apa. Cekak pinggang aku waktu tu menahan marah. Rasa ringan je kaki dan tangan nak hentak. Ya Tuhanku, kalaulah aku hilang sabar tadi. Mujurlah anak tu jawab semua soal siasat aku dengan muka kesalnya. Aduhai anak!

Agaknya, macamana aku boleh tahu siapa yang buat? Ada satu tanda pada Hypafix tu yang buatkan aku tahu itu angkara siapa, sebabnya aku pernah beri 3 orang anak aku ni Hypafix beberapa potong untuk dibuat main. Anak oh anak, janganlah buat lagi macam ni. Apa yang ada dalam bilik khas ni, semuanya yang PENTING. Tidak boleh tidak, kena ada.


Ermmm, kalaulah aku hilang sabar.....
October 13, 2017

“MAKAN" UNTUK HIDUP

Kita makan untuk hidup, begitu juga dengan adik Izz. Dia pun makan untuk hidup. Bezanya, adik Izz “makan" bypass mulut dan salur pencernaan. Bukanlah adik Izz tak makan ikut mulut langsung, dia tetap makan. Dia tetap minum air dan susu. Cuma, nutrisi daripada makanan tu yang adik Izz bermasalah.

Usus pendeknya tak cukup untuk cerna dan serap zat makanan. Jadi, “makan" TPN lah jalan penyelesaiannya. TPN ni keperluan nutrisi harian adik Izz dalam bentuk liquid. Dalam TPN, macam-macam ada.


Bolehkah beri TPN ikut mulut? Hehehe.

TPN ni rumusan khas untuk diberikan melalui salur darah utama adik Izz. Kalau beri TPN ikut mulut (tak pernah try), rasanya serupa juga macam adik Izz makan/minum. Tak cerna dan tak serap pun. Logik, kan? Jadi, TPN akan terus diberi melalui salur darah ke jantung.

Nak beri TPN, kena ada CVL (Central Venous Line). Kalau beri ikut iv line biasa tu, tak boleh. Pernah sekali run TPN ikut iv line kat tangan, berlopak terus tangan adik Izz. Sampai sekarang berparut. Selain CVL, boleh juga beri TPN guna picc line. Biasanya, guna femoral line. Adik Izz, dah out femoral line dia.

Makan untuk hidup adik Izz sama je dengan makan untuk hidup kita yang sihat ni. Cuma caranya yang lain. Dia ikut salur darah, kita ikut salur makan. Yang jadi isu, salur darah untuk CVL adik Izz. Terhad dan sudah sempit. Maknanya, selagi ada salur darah untuk CVL, selagi tu adik Izz boleh “makan". Jika tiada salur darah untuk CVL? Itu aku taknak fikirkannya.

Sekarang, aku anggap “makan" adik Izz tu as routine. Cukup masa kita makan, macam tu jugalah adik Izz, cukup masa dia akan “makan". Sebab tu aku boleh terima yang adik Izz ni TPN dependent for life sebabnya kita pun kena makan for life kan?

Oklah, aku nak bersarapan. Aku perlu makan untuk hidup.
October 10, 2017

TPN SEUMUR HIDUP, BAGAIMANA MENERIMANYA?

Aku ingat lagi kata-kata yang adik Izz ni akan bergantung dengan TPN (TPN Dependent) seumur hidupnya, TPN for life. Mulanya, susah hendak terima. Betul ke hanya TPN sahaja ubat bagi pesakit seperti adik Izz? Kalau seumur hidup, bagaimana adik Izz besar nanti? Macam-macamlah persoalan yang timbul.

Lama-kelamaan, aku dah boleh terima. Seiring dengan adik Izz yang hidupnya keluar masuk wad, tak pernah pun selama ini aku lihat dia tanpa TPN tak bersebab. Even waktu adik Izz dalam ICU sekalipun, TPN akan on. Maknanya betullah yang adik Izz ni akan bergantung dengan TPN.


Ada beberapa sebab je yang adik Izz takkan on TPN. Antaranya apabila line CVL adik Izz infected ataupun line CVL adik Izz broken ataupun line CVL adik Izz tercabut. Tapi adik Izz bukan saja-saja off TPN, biasanya akan digantikan dengan iv line untuk dripped. Kalau tak dripped sepanjang adik Izz tanpa TPN, masalah lain pula akan timbul. Kebiasaannya, Hypoglicemia.

Ada satu ketika, aku fikir itu permulaan sinar buat adik Izz. Adik Izz tanpa TPN, siapa tak suka. Adik Izz cuma akan on TPN selama 5 hari dan boleh off TPN selama 2 hari. Seronoknya rasa. Waktu ini, adik Izz ada Gastrostomy. Bila tiba harinya tanpa TPN, aku boleh beri adik Izz susu ataupun bubur melalui PEG tiub pada perutnya. Tapi apakan daya, gastro adik Izz tidak bertahan lama. Ada saja masalahnya, lebih menyeksa adik Izz sebenarnya. Aku decide, buang gastro pada next surgery.

Sejak daripada itu, setiap hari adik Izz akan infuse TPN. Baik di wad mahupun dirumah, tetap dengan TPN. Sekarang ni, apa yang mulanya aku anggap sebagai ubat untuk penyakit adik Izz, sudah menjadi rutin. Seperti kita manusia normal makan untuk hidup, seperti itulah adik Izz infuse TPN untuk hidup. Aku selalu berdoa, agar adik Izz bukanlah TPN dependent for life. Aku selalu berharap agar ada doa daripada keluarga ataupun kawan-kawan yang akan diangkat dan dimakbulkanNYA.

“JANGAN ANGGAP SEBAGAI PENYAKIT, TAPI ANGGAP SEBAGAI RUTIN"
October 09, 2017

SERONOK BAWA ANAK KE FARMASI

Kos Home Parenteral Nutrition (HPN) adik Izz lebih kurang RM1200-RM1400 sebulan. Biasanya, aku dah asingkan awal kos berkenaan. Itu untuk barang-barang steril adik Izz yang digunakan untuk connect dan disconnect Nutrisi Parenteral (TPN) dan dressing Central Venous Line (CVL). Banyak jugalah sterile items untuk HPN ni. Adik Izz connect dan disconnect TPN setiap hari. Dressing CVL selang 2 hari sekali (bergantung kepada keadaan).

Untuk items yang bukan steril biasanya aku walk in sahaja ke farmasi, contohnya Hypafix, non sterile gauze, Transpore dan lain-lain. Pelbagai farmasi aku pergi bergantung kepada stok dan harga barang. Kalau farmasi A mahal, aku ke farmasi B. Kalau farmasi B tiada stok, aku ke farmasi C.


Bila ke farmasi, aku suka bawa adik Izz. Dua farmasi yang biasa aku pergi ialah di Bazaar 8, Presint 8. Satu, Farmasi Eureka dan dua, Farmasi Vcare. Adik Izz tahu bahagian mana perlu dituju bila masuk ke farmasi berkenaan. Aku cuma cakap, “adik, ambilkan papa gauze", “adik, tunjukkan papa tape", “adik, papa nak syringe besar". Dia tahu dimana letaknya.

Kalau kat rumah, step untuk prep sebelum on TPN dan dressing CVL pun dia tahu. Jangan keluarkan barang-barang tak ikut turutan, mesti adik Izz akan tegur “salah...salah...salah...". Sama seperti bila mama buka satu persatu sterile items tu, kena ikut turutan yang mana dahulu. Jika tertinggal step, adik Izz akan tegur. Adik Izz kenal semua keperluan HPN dia. Dia boleh sebut satu-satu apa barang-barang berkenaan.

Sama macam di farmasi. Aku suka tanya dia “Ini apa? Ini apa? Ini apa?". Laju je dia jawab walaupun ada bahasanya aku kurang faham. Maklumlah, adik Izz ni speech delay sikit. Ada yang jelas dan ada yang kurang jelas percakapannya. Most of his words, aku faham. Oklah tu. Sikit-sikit progress. Yang penting, adik Izz sihat sentiasa. Semoga sembuh hendakNYA, Inshaa Allah.

Jika ada sesiapa yang tahu ada farmasi boleh bekalkan keperluan Home TPN adik Izz yang lebih murah, boleh maklumkan pada aku ye. Manalah tahu aku dapat kurangkan kosnya sedikit. Hehehe. Korang boleh emel aku di (ekjozbuluh@gmail.com). Kalau boleh, janganlah jauh-jauh keluar daerah pulak. Heheh! #prayforizz
October 08, 2017

BAGAI ADA SESUATU YANG MEMBERAT DI BENAKNYA

Muhd. Izzsyraq Azraq @ adik Izz ni seorang yang aktif dan ceria. Walau bagaimana sekalipun keadaannya, dia tetap masih mampu mengutus senyuman. Beberapa kali selepas pembedahan, dia lantas duduk dan bangun apabila habis kesan ubat biusnya. Kuat semangatnya.

Namun dalam keceriaannya itu, ada beberapa ketika atau situasi yang dia akan termenung jauh. Waktu itu kalau kita panggil namanya sekalipun, dia tidak menjawab. Bagaikan berkhayalkan sesuatu. Ada sesuatukah yang memberati benaknya?


Dia kanak-kanak berusia 4 tahun, takkanlah seperti orang dewasa pula yang banyak memikirkan masalah? Moment termenung jauh tu pun jadinya tak lama, tapi biasa terjadi bila adik Izz berada diluar. Contohnya bila aku bawanya ke taman. Abang-abangnya asyik bermain, dia pula terasing di satu sudut memandang jauh.

Pandang tapi tak cakap apa-apa. Bila panggil tak menyahut. Beberapa ketika, dia senyum. Takkanlah berangan pula? Aku rasakan itu sebagai melucukan, dalam masa yang sama kasihankannya. Bila ditanya “kenapa adik?", takda pape katanya. Emmm...


Takpalah adik, dah banyak yang adik lalui. Mungkin adik ambil beberapa saat dari masa yang ada untuk merenung ke masa-masa lalu. Papa dan semua sentiasa mendoakan kesembuhan dan kesihatan adik. Semoga apa yang adik tertinggal selama ini, boleh ditebus kemudian nanti. Inshaa Allah.

4 tahun sebagai pesakit Short Bowel Syndrome (SBS), adik Izz sudah lalui 31 kali prosedur di dewan bedah dan 27 kali pembedahan serta 855 hari warded termasuk 4 kali ICU. Semoga apa yang dilaluinya ini dibalasNYA berlipat ganda. Oklah, dah nak on TPN adik Izz. Bye!
October 06, 2017

ANAK TANPA GADGET

Tidak seperti along Izz dan angah Izz, adik Izz tak lekang handphone di tangannya. Handphone tanpa sim dan internet, yang ada cuma video kegemarannya. Ada Didi and Friends, ada Upin dan Ipin, ada Omar dan Hana, ada Ejen Ali, ada Boboiboy, ada lagu A B C 1 2 3 dan ada Babyshark doo doo doo.

Namun, 2-3 hari ni adik Izz hidup tanpa handphone. Salah dia juga, dia yang lempar handphone tu dari babycot ke lantai. Protes apa entah! Habis screen handphone tu retak seribu, langsung dah tak boleh nak switch on. Mungkin dia sedar itu salahnya, adik Izz diam sahaja.


Ada juga dia minta handphone tu, tapi aku cakap rosak nanti nak hantar baiki. Aku dah tanya kedai, bapak mahalnya. RM295 untuk ganti screen baru, serupa beli handphone baru je. Yang hancur ni pun beli 299 masa promo. Emmm, nampaknya kena tunda dululah. Mahal kot! Tak apa, memandangkan adik Izz boleh terima handphone nya rosak, aku cuba hold dulu.

Tiga malam tanpa handphone, ada juga baiknya. Yang ketara, adik Izz tidur awal. Kalau sebelum ni selepas jam 11.00 pm baru dia nak tidur, kali ini jam 10.00 pm dia sudah panggil aku masuk ke bilik untuk pakaikannya glove. Bila sudah pakai glove, adik Izz akan minta pasangkan lampu tidur, minta tutupkan lampu utama, minta tutup tv dan dia akan baring. Tak lama pun mama Izz tepuk, 10 minit hanyut lah dia. Kalau ada handphone, lambatlah dia nak pejam.

Cuma, waktu free antara 6.30 pm on TPN hingga jam 10.00 pm tu, dia agak kebosanan. Macam tak tahu nak buat apa, mati akal. Duduk saja. Kejap-kejap main bantal. Kejap-kejap menung. Emmm, nampak kesian pulak. Bila bagi buku, 15 minit je bertahan. Bila bagi mainan, main lempar-lempar ke lantai, sudahnya melangut je lah.


Takpa, baru 3 malam. Kena biasakan adik Izz hidup tanpa handphone seperti along Izz dan angah Izz. Tengok apa saja cerita di tv. Cukup masa tido. Hahaha. Cuma bila adik Izz tiada handphone ni, dia tiada sesuatu yang melekakannya. Bila adik Izz tidak leka dengan sesuatu, dia suka usik-usik tiub CVL. Bahaya pulak. Siang tiada masalah, sebabnya dia luar dari bilik, jadi ada macam-macam yang boleh lekakannya. Banyak permainan, boleh tonton tv channel kartun, boleh main motor & kereta.

Tengok beberapa hari lagi bagaimana. Kalau CVL jadi taruhan, nak tak nak aku kena hantar baiki juga handphone dia. Tapi, kena tunggu duit jatuh dari langitlah dulu, ataupun ada yang nak bagi handphone free ke. Hehehe. Tak mampu lagi nak baiki mahal-mahal. Kos baiki boleh beli stok dressing sets untuk 2 bulan tu. Atau ada pembaca nak dahulukan 300, bayar ansuran 24 bulan. Kahkahkah. Oklah, nanti aku sambung cerita lagi ye.
October 05, 2017

JOIN SEGMEN BLOGLIST AKHIR TAHUN 2017 HASRULHASSAN.COM

Biar Tahu Dengan Ilmu - HASRULHASSAN.COM

Bro HH buat segmen, mana mungkin tak join kan? Tambah-tambah bro HH nak buat bloglist akhir tahun. Tersenarai nanti mana tahu blog aku jadi femes ke. Hehehe. Actually ekjozbuluh.com ni tak ada apa yang menarik pun. Aku banyak bercerita tentang anak-anak aku je. Cuma sejak 4 tahun kebelakangan ni, aku lebih banyak bercerita mengenai anak ke-3 aku yang sakit kronik tu.

Blog bro HH ni dah lama aku tahu. Tapi exactly berapa lama tu, aku tak tahu. Hahaha. Blogger terkenal macam bro HH ni, senang je nak jumpa. Google, mesti jumpa. Bila dah baca blog bro HH ni, baru kita tahu kenapa dia digelar sifu. Banyak juga yang aku belajar dari tulisannya. Thank you bro HH.

Dulu, aku buat blog ni sebab trend. Iyalah, masa tu masing-masing ada blog kan? Tapi, buat intro then senyap. Alhamdulillah aku boleh teruskan. Blog aku bukan blog untuk income macam orang lain. Blog aku ni lebih kepada tulisan santai biasa je. Sejak 4 tahun ni je aku aktif. Sebabnya aku nak rekod perkembangan anak aku yang sakit kronik tu. Sekurangnya, aku tak perlu minta fail berjilid kat hospital tu. Jadi, aku harap apa yang aku tulis ni tak menyampahkan pembaca lah ye. Bukannya orang suka pun baca pasal kehisupan seorang pesakit ni. Ada, tapi kurang. Mana tahu akan datang, ada yang jadikan blog aku sumber rujukan. Heheheh.

Aku harap, aku tersenarailah dalam 30 bloglist pilihan bro HH ni. Boleh berbangga sikit bila blogger terkenal bro HH pick blog aku as bloglist beliau. Inshaa Allah.

Jom, join Segmen Bloglist Akhir Tahun 2017 HasrulHassan.com ni. 30 blog saja tau akan tersenarai. baik korang cepat.


October 04, 2017

AKTIVITI BERI MAKAN IKAN

Sabtu atau Ahad, mana-mana hari yang jatuh pada hari `Dressing Days' adik Izz ialah hari untuk bawa adik Izz bersiar-siar. Mana nak cari port yang berhampiran dengan rumah serta tidak crowded dengan manusia? Jadi, aku pilih untuk bawa adik Izz dan abang-abangnya ke Dataran Putra.

Dataran Putra pun ramai oranglah. Haaa, ini yang orang tak tahu (aku pun baru tahu). Jangan lepak kat atas, tapi lepak kat bawah. Memang tak ramai orang. Selesa buat adik Izz. Biasanya, aku akan parked kereta belakang JPM tu. Banyak parking yang kosong.


Nak dijadikan cerita, biasanya tugas aku follow kemana adik Izz pergi. Adik Izz tak join abang-abangnya bermain sangat sebab abang-abangnya kasar sedikit permainannya. Lumba basikal lah, lumba scooter lah, lumba roller blade lah, adik Izz tak sesuai dengan aktiviti-aktiviti lasak macam tu. Jadi, dia cuma jalan-jalan sahaja. Aku pula, follow sahaja. Tugas aku jaga keselamatan adik Izz dan jaga keselamatan CVL (Central Venous Line), mana tahu dia tarik nanti.

Jalan punya jalan (tak penat ke mamat malabsorption ni?), sampailah satu tempat. Ada satu family saja sedang melepak dengan anak-anak. Disitu ada satu tebing/pelantar yang open. Aku pun pegang tangan adik Izz, dan lepak atas pelantar berkenaan. Banyaknya lah ikan kat situ. Melepaklah aku dan adik Izz kat situ sambil beri makan ikan. Mujur mama Izz ada bawa roti, biskut dan keropok. Ikan mende, aku tak berapa kenal. Rasanya Lampam kot? Sisik sinar-sinar, ekor merah-merah je. Hehehe.


Adik Izz kunyah sikit, then baling ke ikan. Kunyah sikit, bagi ke ikan. Itulah ulang-ulangnya, taknak kemana-mana dah. Sukanya dia dapat beri makan ikan. Nampaknya selepas ini, aku kena bawanya lagilah ke sini. Adik Izz bila dia dah suka, biasanya ada ulang tayang sampailah dia rasa dah bosan dengan aktiviti tu.


Nama tempat ni Jejak Sisiran Putrajaya (Putrajaya City Trail). Aku pun baru tahu pasal tempat ni. Rupanya ada banyak port Jejak Sisiran Putrajaya ni. Tempat yang aku lepak ni, Jejak Sisiran JPM rasanya. Kalau pusing keliling, boleh sampai ke port Kompleks D rasanya. Ada Jejak Sisiran Taman Wawasan, ada Jejak Sisiran Santuari Burung dan macam-macamlah. Ada 11 atau 12 tak silap aku.

Oklah, nanti aku cuba jalan jauh sikit tapi kena tengok keupayaan adik Izz lah. Aku malas nak dukung dia. Hehehe. Lagipun, masa adik Izz terhad. Maksima 30 minit satu-satu tempat. Selain tu, ronda dalam kereta saja. Dia dah sihat nanti, seharian jalan-jalan pun takpa. Inshaa Allah.
October 03, 2017

RAWATAN UTAMA ADIK IZZ

Short Bowel Syndrome (SBS) adalah masalah yang berkaitan dengan penyerapan nutrien. Biasanya SBS berlaku kepada orang yang mempunyai sekurang-kurangnya separuh usus kecil ataupun tiada usus kecil ataupun yang mengalami kerosakan usus kecil. Kategori sindrom usus pendek boleh dibahagikan kepada ringan (mild), sederhana (moderate), atau teruk (severe), bergantung kepada seberapa usus kecil berfungsi.

Adik Izz ada 5 cm usus kecil. 

Aku tak pasti nak kategorikan yang mana. Mungkinkan severe (teruk)? Biasanya, orang yang mengalami Short Bowel Syndrome tidak dapat menyerap dengan cukup air, vitamin, mineral, protein, lemak, kalori dan nutrien lain dari makanan, bergantung kepada bahagian usus kecil yang telah rosak atau dikeluarkan. Adik Izz ada part Duodenum sahaja. Part Jejunum dan part Ileum sudah rosak dan telah dibuang.

Rawatan utama untuk adik Izz?


Doktor syorkan rawatan untuk adik Izz berdasarkan keperluan nutrisinya. Buat masa sekarang, Total Parenteral Nutrition (TPN). Rawatan dengan menyalurkan cecair, elektrolit, vitamin dan mineral ke dalam salur darah adik Izz melalui tiub Central Venous Line (CVL) iaitu tiub yang dimasukkan ke dalam vena. Sebabnya buat masa sekarang, adik Izz tidak boleh mendapatkan nutrisi atau cecair yang mencukupi melalui makan. Baik di wad mahupun di rumah, adik Izz tetap akan diberi TPN.


October 01, 2017

GAYA POTONGAN RAMBUT SAMA

Kalau ada yang perasan, gaya potongan rambut adik Izz sama saja sejak dari kecil. Mana taknya, adik Izz agak sukar untuk dipotong rambutnya. Kalau dulu, dia menangis dan mengamuk. Sekarang, dia tak boleh duduk diam lama-lama. Bila lama, mulalah macam-macam. Jadi, hanya ada satu cara saja untuk gayakan potongan rambut adik Izz. Sama dan rata.


Gaya askar. Guna satu mesin, sodok saja kepalanya. Baik atas, baik tepi, baik belakang, semua satu saiz. Satu syarat lagi, kena buat potongan pantas sementara adik Izz duduk diam-diam. Biasanya, aku akan pergi ke kedai mamak berhampiran dengan rumah aku. Aku dan anak-anak yang lain pun memang potong rambut disitu. Dah kenal.

Barber adik Izz pun orang yang sama. Tak tahulah, mungkin rezeki adik Izz dapat barber yang sama. Aku suka cara dia. Diam tak cakap apa-apa pun tapi kerjanya kemas dan paling penting, pantas. Aku cuma beritahu gaya potongan rambut sahaja.

Tak sampai 3 minit, selesai potong rambut adik Izz. Tak sempat pun adik Izz nak meragam. Bila selesai, adik Izz akan minta disapukan bedak. Style adik Izz, dia tak suka diselimutkan. Jadi, rambut akan banyak melekat pada leher dan pakaiannya. Uncle ni akan cuci rambut, dan sapukan dengan bedak. Bab ni yang adik Izz suka.


Syarat penting nak potong rambut adik Izz ni, kenalah hari dia dressing CVL. Kenapa? Sebabnya selepas adik Izz potong rambut, dia boleh dimandikan lenjun kerana selepas itu CVL akan dicuci dan digantikan dengan gauze dan hypafix yang baru. Sama seperti nak bawa adik Izz outing. Bawanya pada hari dia dressing CVL. Biarpun adik Izz berpeluh, tiada masalah. CVL akan dicuci selepas itu.

Inilah sebab kenapa gaya potongan rambut adik Izz sama sahaja.