21 Jan 2017

MAKAN DAH MAKAN, BAGAIMANA KADAR SERAPANNYA?

Anak semakin membesar, usianya hampir 4 tahun, banyak nampak perubahannya. Ada yang kurang ketara dan ada yang agak ketara. Paling ketara, bab makan.

Sejak anak dimasukkan ke wad pada 4 Januari yang lepas, Nutrisi Parenteral (TPN) yang diterimanya setiap hari, dihentikan buat sementara sementara. Ini bertujuan untuk merawat jangkitan MRSA pada tiub Central Venous Line (CVL) nya. Sejak itu, selera makan anak agak berbeza.


Sebelum ini, hendak berinya makan bubur nasi pun perlu dipaksa. Kadang-kadang, terhidu bau makanan pun sudah meloyakan tekaknya. Dan dia akan muntah. Bila ditanya “adik nak makan?", “takkk nakkk", katanya.

Berbeza kali ini. Setiap makanan yang dia nampak, dia akan minta “nakkk nakkk nakkk". Dan aku cukup, cukup seronok apabila makanan yang diberikan kepadanya, dia akan suapkan ke mulutnya. Dia sudah berani hendak mencuba makanan. The best part, dia langsung tidak muntah. Syukur! Semoga berterusan hendakNYA.


Anak makan tak banyak, dia akan gigit sikit-sikit, tapi kerap. Aku tahu, walaupun anak sudah mula makan tapi tetap tidak mencukupkan keperluan nutrisi hariannya. Yang aku tak tahu, berapa peratus kadar serapan usus pendeknya dengan apa yang dia makan.

Kali terakhir yang aku dengar, `jika diberi susu sebanyak 15ml, kadar serap ususnya adalah 40%'. Itu susu, jika makanan bagaimana?
Share:

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan jejak anda, Terima Kasih!